10/11/2009

-antara cinta dan cita-

aku pernah katakan pada seorang teman
kiranya aku ingin jadi seorang novelis
ini akan aku jadikan judul novel pertama aku

kian lama sudah aku sepi dari dunia virtual aku ini
ada tika aku punya ide tapi tidak punya masa untuk coretkan segala
ada tika aku punya masa tapi tidak punya jiwa untuk mengarang
ada tika aku hanya sekadar menjengah membuang sawang dan habuk di ruang virtual ini

aku agak berada di persimpangan tika ini
selalunya seorang aku sentiasa tahu apa yang aku mahukan
sentiasa optimis dan oportunis untuk makin maju ke depan
tapi kebelakangan sudah
aku rasakan diri aku semakin hilang motivasi diri
terasa akan jiwa semakin menjauh
asbabnya?
kerana cinta dan cita

pasti ramai yang akan melabel aku seorang yang bodoh kerana bisa jatuh melutut dan hilang waras akal hanya kerana perkara seremeh cinta
tapi apa bisa seorang gadis seusia aku untuk menepis segala gelodak rasa dan perasaan
aku tahu apa aku mahukan dalam masa 2 tahun ini
aku mahu ambil dan cedok segala apa ilmu dan selok belok dunia pekerjaan peringkat global dari syarikat antarabangsa ini
aku mahu dapatkan segulung ijazah
aku mahu meneroka peluang kerja di tanah semenanjung sana

tapi untuk seketika
pendirian aku agak goyah
kerana hati dan jiwa aku begitu memberontak untuk sentiasa dekat padanya
untuk sentiasa berada di sisinya
bukannya aku tidak pernah mengatakan kata-kata ini kepadanya
empunya diri lagikan faham kehendak dan kemahuan aku
cuma aku yang terlalu ligat memikirkan apa yang sebenarnya dimahukan oleh seorang aku

sepertimana kata sang hujan
mencari konklusi
aku masih dan sedang mencari konklusi untuk konflik dalaman yang aku sendiri reka tatkala masa dan ruang diberikan pada aku
betapa aku benci untuk duduk diam seorang diri
betapa aku benci suasana yang begitu hambar dan sunyi
kerana situasi itu yang membuatkan aku sentiasa 'berfikiran tenat'
hingga membuatkan jiwaku cukup tenat

aku sedang masih mencari konklusi
dan padaNya juga aku berserah dan mohon
untuk ditunjukkan jalan kepada apa yang dimahukan dan ditakdirkan untuk seorang aku

jiwa...tenanglah engkau untuk sedetik waima pun
biar aku punya ruang untuk berbicara dengan lebih halus untuk aku dengarkan apa yang engkau cuba jeritkan pada aku yang mungkin sedang tuli ini

kekasih hati...engkau kan sentiasa ada untuk aku kan?
sentiasa ada untuk menerima segala cacat cela dan kekurangan seorang aku kan?
bisikkan pada aku wahai kekasih walaupun kita jauh beribu batu, dipisahkan oleh laut china selatan pun
hati kita tetap kan jadi satu bukan?


0 puzzled minds:

Post a Comment

-this is a sanctuary...respect those who seek for peace of mind-