Buat saudaraku, kekasih hati aku,
Assalamualaikum dan selamat buat kamu. harapnya warkah aku ini selamat sampai hendaknya. aku hanya berkeinginan warkah ini berada dalam tangan kamu agar sampai isi hati aku pada kamu.
sudah hampir tiga minggu bukan?bumi kamu diselubungi resah dan gelisah.walau aku jauh di sini, aku tetap mahu tahu apa yang terjadi nun di sana. dan hati aku luluh sekali bila perkhabaran itu sampai pada aku. air mata aku jadi begitu murah tatkala menatap gambar mereka yang sama sekali tidak berdosa itu bermandikan darah, berselimutkan ketakutan. aku begitu sakit hati dan benci pada keparat-keparat itu yang tidak segan silu menghujani bumi kamu membuta tuli. untuk mengekalkan keamanan kononnya....jahanam!
tetapi kekasih.....
kamu tahu apa yang lagi merobek jiwa seorang aku?bukan gambar-gambar yang aku tatap saban hari.bukan perkhabaran yang disampaikan saluran media dan berita.yang buat hati aku makin terguris ialah kerana seorang aku tidak mampu berbuat apa untuk kamu,kekasih hati.
aku benci pada diri kerana aku tidak sekuat kamu,yang tiap waktu bersengkang mata, yang tiap masa berwaspada pada langkah. kiranya diri aku ini yang jadi galang ganti kamu pada saat ini, belum pasti aku berani berdiri, apatah melangkah...aku sembunyi dan lari barangkali....
aku benci pada seorang aku kerana aku tidak bisa menjadi pelindung buat kamu, kerana gagal menjadi pembisik semangat buat kamu walau itu yang aku janjikan pada kamu dahulu kala.
aku malu pada seorang aku....kerana begitu lemah....
namun kekasih....
di sebalik seorang aku yang pengecut dan penakut ini, doa aku tidak pernah putus buat kamu. aku yakin angin ada sampaikan padamu betapa hati ini mohonkan perlindungan dan keberkatan daripadaNya buat kamu. walau aku tidak punya kekuatan seperti kamu, hati aku tetap dambakan kesejahteraan buatmu. dan pada Dia aku sandarkan keyakinan yang pada mana, satu ketika kelak,akan kembali sinar rahmat di bumimu....
kekasih...
tiada apa yang aku dambakan tika ini. melainkan kesejahteraan buat kamu dan saudara-saudara kita di sana. betapa tiap hari aku kutuk dan ucapkan celaka pada penceroboh dan boneka mereka. betapa tiap kali seusai solat, aku utuskan doa buat kamu. agar kamu kalis peluru-peluru jahanam itu, agar hati kamu teguh tatkala melangkah memperjuangkan hak.
ingin aku memanjangkan bicara jiwa kita wahai kekasih. tapi hati aku nyilu...jiwa aku sebak untuk mengarang bait-bait kata buat penyuntik semangat untukmu. padaNya aku pohon, agar apa yang ada di benak aku sampai jua padamu. agar kamu sentiasa tahu bahawa seorang aku tidak pernah putus mengirim kasih dan sayang buat kamu. doa aku sentiasa buat kamu dan saudara-saudara kita. moga kelak, sinar akan kembali menyinari.moga kelak hujan rahmat akan turun untuk membasuh luka-luka kamu. aku dambakan keamanan di bumi mu.moga sampai kasih aku di sana....
Tulus ikhlas
Pencinta
1/07/2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 puzzled minds:
Post a Comment
-this is a sanctuary...respect those who seek for peace of mind-