2/27/2009

-verse 1-verse 2-

VERSE 1

jiwa raga agak kurang keruan barang beberapa hari sudah
dibelek-belek,ditilik-tilik sama bekas berisi air jampi pak belalang
demam ingin menjengah rupanya
maka aku kurang memberi respons yang wajar minggu ini
minda agak lembab untuk memikirkan masalah dunia
langsung malas untuk ambil hirau hiruk pikuk hal ehwal politikus, kemerapuan 'singh is king' sama hamburan caci maki di parlimen
bagi seorang aku selaku mahasiswa yang melihat
senario itu tidak ubah seperti drama di tv yang memaparkan sekumpulan lelaki-lelaki tua yang lupa apa yang mereka perjuangkan,yang bangga dengan hiruk pikuk, yang angkuh dengan gaya yang begitu caca merba mereka, yang suka sama pantun jampi serapah, sumpah seranah
komen seorang aku?
bullshit!


VERSE 2


wildest dream....
i tell you a good one
i was the co-coach of the Red Satan
been proudly yelling and motivating the aces from the side of the field
it was an anticipated match between the Blue Lions and the Red Satans
i remembered being so eager and anxious in winning the match
it was at the Old Trafford futsal stadium?!
it was one wildest dream....
i saw him at the visitor's bench
the guy who caused such an uproar last election
barack obama as the Blue Lion's coach?!
yes...it was one wildest dream...
there in the futsal stadium
me, barack obama, Man U and Chelsea rampaging the field
and damn the Blue Lion partied hard that night
it was one wildest dream

*foot-note:my 'blue lion' didn't know but i heart Anelka*
*foot-note 2:i think my fever really took its toll on me.i've been having wild dreams'

2/23/2009

-dengarkan aku...boleh?-

betapa saat ini aku ingin hamburkan segala kata
segala rasa yang kian menghimpit jiwa
betapa saat ini aku ingin laungkan segala kata
segala rasa yang bisa kurangkan sakit di sanubari
betapa saat ini aku luahkan segala kata
segala rasa yang memamah diri

ada tika aku amat berharap
aku bisa jadi perempuan yang tidak punya hati
yang tidak punya perasaan
yang tidak punya emosi
tapi aku tetap kalah dengan realiti
yang seorang aku ini adalah seorang manusia
satu ciptaan Tuhan yang punya perasaan, punya emosi, punya hati
bukannya satu robot ciptaan manusia yang tidak merasai semua

kiranya aku guris hati kamu terlalu dalam
kiranya aku telah henyakkan perasaan kamu
aku pohon ampun dari kamu

kiranya aku seperti tidak endah sama kamu
kiranya aku seperti memperlekehkan kamu
aku pohon ampun dari kamu

bilamana keluar perkataan 'sampah' dalam ayat kamu
aku rasa diri sudah dihentam dengan belantan
bilamana keluar perkataan 'tidak layak' dalam ayat kamu
jiwa aku sudah bagai disentap

aku banjirkan satu malaya dengan airmata
belum tentu dapat redakan amarah
belum tentu dapat kembali rasa buat kamu
aku banjirkan ruang inbox di dalam telefon bimbit kamu
belum tentu dapat memujuk hati
belum tentu dapat jernihkan keadaan

saat ini
segala rasa memberontak keluar dari hati
perasaan bagaikan berebut-rebut untuk tunjukkan ekspresi
tapi kamus aku kosong
hanya sendu yang ada

dengarkan aku...
boleh?


2/21/2009

-bicara seorang teman-

aku mungkin bukan seorang yang kamu inginkan sebagai sahabat
kerana tidak punya insuran untuk mulut aku
bukan aku seorang yang celupar
tetapi terkadang aku punya potensi untuk bertutur tanpa guna akal yang ada
dan kemudiannya aku sesali teramat

tiada guna untuk sesalkan pada perkara yang sudah diucapkan
kata-kata yang tajam yang sudahpun meniti di bibir
pasti akan terus tertikan pada hati si pendengar
engkau mohonkan ampun beribu kali
melutut memohon ampun segala
waima teman sudah maafkan
tapi pasti akan lekat di jiwa
akan ada masa, saat sendiri
kata-kata itu pasti terngiang-ngiang di gegendang telinga
pasti babak itu akan diulang tayang secara automatik

aku pasti akan itu
kerana itu perkara yang pernah aku lakukan
hingga ke saat ini aku masih simpan rasa bersalah aku pada seorang teman
yang tidak mungkin mampu aku mohon ampun dan maaf darinya
walaupun aku hentakkan kepala, lekatkan dahi aku pada sejadah
mohon diputarkan masa
mohon diberikan pada aku barang satu saat untuk aku tuturkan maaf dari bibir
aku titiskan airmata darah sekalipun
Tuhan tidak akan berikan aku peluang itu

aku terima pengajaran aku dengan cara yang begitu dalam dan traumatik
kerana dari saat itu aku mampu mengubah diri secara total
dari seorang yang begitu notorious dalam berkata-kata
tanpa ambil peduli sentimen dan perasaan teman
kepada seorang yang boleh terus senyap,membisu seribu kata
walaupun hati diamuk perasaan amarah

aku mungkin bukan seorang yang kamu inginkan sebagai teman
aku masih bertatih ke arah itu
tunggu aku

2/19/2009

-angin bertiup bawakan awan mendung-

seperti mana yang dikhabarkan pada aku oleh seorang teman
bahawa seorang profesor di sini yang terkadang kelihatan kurang tumpuan
kerana merasakan diri agak disoriented

seperti itu juga aku pada saat ini
terasa seperti dilanda ribut jiwa
terkadang rasa cukup senang
terkadang rasa cukup tenang
selang sepuluh minit
angin sayu dan hiba ditiupkan pada sekeping hati punya seorang aku
ombak runsing berderu menghempas pada jiwa
membuatkan aku agak dingin pada masyarakat sekeliling

saat-saat begini amat membebankan aku
kerana tanpa sebab musabab yang nyata
aku boleh jadi seorang manusia yang sungguh pendek akalnya
yang sungguh cetek pemikirannya
dan dari itu
bertitik tolak lah drama dan adegan yang aku akan sesali dalam masa kurang dari lima minit

sebegini susah dan kompleks seorang wanita
pasti ada saat sebegini
paling tidak sekali sebulan

oleh itu
jangan lah kamu kaum adam di luar sana
mahu duga emosi seorang wanita tatkala "angin" sebegini tiba

*terkebil-kebil*

tiba-tiba aku dihambat perasaan rindu yang teramat
tiba-tiba sesak dada aku menahan rasa hati
yang begitu memberontak untuk pulang ke borneo sana
ada apa dengan angin kali ini

cepat lah kamu reda
agar aku bisa lihat awan yang biru itu

2/18/2009

-aku musykil akan satu hal-

perihal PPSMI
ini hanyalah dua sen dari seorang aku yang baru mahu kenal apa itu realiti dunia

perihal PPSMI
yang pada mana aku rasakan tiada cacat celanya
yang pada mana aku rasakan bukan satu ancaman pada masyarakat malaysia
yang pada mana aku rasakan bukan satu agen perencat pada minda remaja

perihal PPSMI
yang kian hangat dibangkang dan dibantah
oleh segala apa jentera, penggiat dan pencinta bahasa kebangsaan
yang makin gah dibahaskan oleh segala cendikiawan bahasa yang ada
yang hebat dibantah oleh para ibu bapa sekalipun

perihal PPSMI
yang membuatkan aku musykil
atas dasar apa yang mereka katakan yang bahasa penjajah itu bisa robekkan rasa patriotik pada diri
yang membuatkan aku terpana barang seminit dua
atas dasar apa yang mereka katakan bahasa penjajah itu bisa hilangkan terus identiti bahasa melayu pada diri

bagi seorang aku yang baru mahu lihat realiti dunia ini
aku cukup kagumi bahasa ibunda
peduli apa aku kalau kamu jelik membaca apa yang ada di sini
yang langsung jauh dari apa yang aku selalu ucapkan di bibir
di sini aku mahu kamu tahu kenapa aku musykil akan hal yang satu ini

bagi seorang aku yang baru mahu lihat realiti dunia ini
PPSMI itu tiada langsung punya kekuatan untuk menganggu-gugat hak bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan
tiada langsung punya potensi untuk hapuskan identiti masyarakat malaysia
tiada langsung punya kehebatan dan keunikan untuk lenyapkan seni pada bahasa melayu
bahasa melayu tetap punya identiti nya tersendiri
akan tetap gah dengan kekuatan nya

cuma pabila dilihat dari sudut global nya
ada perlunya kita kuasai bahasa penjajah itu
bukan untuk kita hapuskan identiti bahasa melayu itu
tapi untuk kita turut serta dalam saingan global yang kian sengit
pada masa bila lagi kita mahu bakal pemimpin untuk belajar kuasai bahasa penjajah itu sedikit demi sedikit?

kamu pasti pernah terlihatkan iklan di tv
perihal anak-anak sekolah memberi tunjuk ajar kepada seorang pelancing bukan?
usah kamu segan untuk hadam jadam yang pahit itu
bahawa tahap penguasaan bahasa inggeris di kalangan anak muda kita masih lemah
apa golongan-golongan itu yang kamu mahu hantar ke pentas dunia untuk berentap dengan peserta dari seantero pelosok dunia?

aku akui
ada kalanya aku lebih banyak bertutur dalam bahasa penjajah itu
bukan untuk aku tunjuk pada teman mahupun dunia yang aku cukup bangga dengan tahap penguasaan aku
tetapi aku mahu tunjuk pada umum
yang bila mana aku fasih berbahasa inggeris itu
jiwa aku masih cinta akan kesusasteraan melayu walaupun tatabahasa aku teruk
aku mahu umum tahu
pada saat aku bijak bertutur dalam bahasa penjajah itu
tekak aku ini masih inginkan sambal belacan

aku tiada pernah mahu cinta aku pada bahasa melayu aku hilang begitu sahaja
dan oleh kerana itu kebanyakan entri aku
aku karangkan dalam bahasa yang aku agungkan ini
tapi pada masa yang sama
aku sentiasa mahu tingkatkan tahap penguasaan bahasa inggeris aku

perihal PPSMI
kiranya kamu laungkan yang pembelajaran dalam bahasa inggeris itu musuh negara
kenapa kamu tidak jadikan perogol-perogol bahasa melayu yang kian ramai di luar sana sebagai musuh?
perbahasan di parlimen yang begitu agung itu sendiri
dicacatkan dengan segala apa frasa oleh sekian menteri
anak remaja kini sendiri semacam lupa bahawa mereka itu anak malaysia
yang lahir di bumi malaysia
tetapi pabila bertutur dalam bahasa yang kononnya melayu itu
seperti mat saleh yang baru mahu belajar bahasa melayu
ada apa dengan senario itu?

aku musykil akan hal yang satu ini
aku seorang pelajar tahun akhir kejuruteraan kimia(bioteknologi)
yang selama mana aku belajar
dicurahkan ilmu pada aku dalam bahasa inggeris
tapi jiwa aku tiada pernah lupa
pada indahnya seni bahasa melayu itu

dan ya
tekak aku masih mahukan sambal belacan
i'd look silly myself if i claim to be a malaysian but unable to converse well in bahasa melayu
but still
i'd feel way more silly if i ain't able to converse well in english but stubbornly challenge the world

2/17/2009

-agar bisa kamu mengerti bahawa itu bukan hak mutlak-

tiada pernah aku dengarkan sebelum ini
mana-mana jalan raya yang ada di segenap pelosok negeri ini
dihakmilikkan pada mana-mana individu
waima individu itu pemerintah paling tinggi ranking nya dalam negara

tiada pernah aku dengarkan sebelum ini
mana-mana undang-undang jalan raya yang wujud dalam segala apa sistem perundangan
dikecualikan dari mana-mana individu
waima individu itu teraju negara sekalipun

yang aku pasti
hanya nama tokoh yang diberi pada sekian-sekian jalan
itu aku tahu

tapi saban hari
entri dari seorang sahabat virtual ini tidak pernah putus menyajikan perihal perogol undang-undang jalan raya
tidak pernah putus menyiarkan entri berkaitan tragedi yang kian kerap berlaku
yang meruntun jiwa seorang aku
pattern nya makin rancak saban hari
gaya tiap tragedi makin extreme
makin tragis
makin kejam

aku seorang pemandu amatur
yang aku rasakan bisa menjadi salah seorang kroni perogol undang-undang jalan raya itu
jika aku tiada pernah didedahkan dengan tragedi jalan raya
dan kerana itu aku berterima kasih
pada sahabat kerana sediakan ruang virtual buat seorang amatur seperti aku
untuk mengingatkan diri
bahawa jalan raya itu tiada pernah jadi hak milik tunggal dan mutlak mana-mana individu

kiranya kamu tidak bisa mengerti
dan tidak mahu menerima hakikat akan fakta itu
singgah-singgahlah di laman virtual sahabat ini

http://ondscene.blogspot.com/

agar kamu bisa mengerti bahawa itu bukan hak milik mutlak kamu

tapi awas....
ziarah laman itu 'at your own risk'
sekiranya kamu bukan seorang penggemar filem thriller mahupun horror
usah dipaksa jari kamu untuk klik
sekiranya kamu bukan seorang yang berhati kering
usah makan sebelum kamu klik



2/13/2009

-kala musik memecah gegendang telinga-

agak lama aku menyepi
sepi lagi dari dunia maya ini
bukan bermakna aku sudah tidak punya hati untuk menitipkan barang satu dua kata di sini
tapi tidak punya ilham untuk coretkan apa
kerana bagi aku
penulisan itu satu kerja yang mulia
yang tidak harus aku cacatkan dengan omong kosong begitu sahaja
aku ingin menjadi seperti pemuisi hebat fynnjamal
yang bukan hanya intelligent dalam bahasa inggeris
tapi kaya dengan bahasa ibunda

ya.....
sungguh jauh beda aku dan dia
sejauh langit dan bumi
tapi angan-angan bukan satu kesalahan bukan

arakian lama tidak punya ide untuk aku rapukan
tiba-tiba terdetik jiwa untuk coretkan sedikit

kala ini...
teman bilik aku tengah sibuk menyediakan makan malam
ingin masak nasi goreng ikan masin kata tukang masak
aku setuju sahaja kerana makan adalah hobi aku yang kedua

dan aku?
sememangnya sedang tercegat menghadap monitor pc
sambil menaip entri ini
saja....teringin
teringin tinggalkan khabar

projek tahun akhir aku sudah lama berjalan
tapi aku kian tertekan
melihatkan belum ada hasil yang nyata
aku makin penat untuk memerah ide
barangkali itu yang membuatkan aku langsung jarang singgah ke sini
tapi tidak bermakna aku lupakan sudah
sini tempat aku laungkan hati lara
sini tempat aku luahkan rasa
sini tempat aku larikan diri dari realiti yang mencengkam

kian merapu
tanda hilang lagi ilham dan ide
nanti aku muncul kembali
biar aku pujuk dan pupuk ilham aku dahulu

2/05/2009

-bahasa jiwa bangsa-

aku sudah ketinggalan beberapa waktu
untuk aku luahkan segala keserabutan di minda ini

sudah kian lama juga aku menyepi bukan
sudah lama juga laman virtual aku ini terbiar
bersawang
berhabuk

*batuk-batuk*

sudah hampir sebulan
aturan tidur dan makan aku langsung tidak terurus
penangan projek design
salah satu dari projek core tahun akhir aku
dan betapa aku dapat rasakan
segala tenaga dan kekuatan yang aku kumpul untuk presentation semalam
hilang....bagai disedut,terus ditiup angin lalu
puas kerana sudah aku lunaskan hutang-hutang tidur
2 minggu berturut aku tidak kenal mana satu malam dan siang

telat tadi aku melawat ke laman yang aku gemari
buat penghilang penat
buat peniup semangat untukaku terus kuat mengorak langkah tahun akhir

betapa entri dia sarat
betapa bait-bait kata yang disusunkan itu indah belaka
malu aku sendiri
kerana selama ini aku begitu gah melaungkan pada umum
"aku seorang pendebat!usah kau bertegang urat sama aku membahaskan perkara itu!"

*senyap*

entri fynnjamal hari ini
sekali lagi membuat aku malu sendiri
hendak dibandingkan kosa kata aku sama dia
sungguh jauh sekali beda nya
lenggok bahasa yang begitu halus
terus-terus menyentak hati
meruntun jiwa
membuatkan aku makin bangga dan cinta sama bahasa ibunda

dan ya
aku juga setuju sama dia
bagi aku tiada cacat celanya kiranya minda orang kita
diselak seluasnya
diberi ruang untuk mempelajari bahasa asing
bahasa inggeris terutamanya

bagi aku alasan yang diberi oleh ahli akademik yang giat menentang ide ppsmi itu
agak tidak berapa logik nya
patriotik...bahada jiwa bangsa...
kau lihat saja ahli parlimen di dewan rakyat
apabila mereka bahaskan usul mereka
apa mereka bahaskan dengan menggunakan bahasa yang betul?
apa mereka debatkan usul dengan kosa kata yang betul?
dan itu mereka kata parlimen?
setahu aku yang sekian lama cinta dengan dunia perbahasan
standard ahli parlimen di dewan rakyat sana
teramat jauh dari standard teman-teman arena pembahasan aku

*mengeluh*

aku akui
aku lebih kerap bertutur dalam bahasa inggeris
lebih senang untuk aku berurusan bila menuturkan bahasa penjajah itu
tapi pada masa yang sama
aku tidak ada pernah lupa pada bahasa aku sendiri
kerana bagi aku....
bahasa melayu itu lagi halus bunyi nya
terserlah kesantunan adat timur nya
bisa jadi ingatan buat aku yang adakala nya hanyut sama godaan dunia

usah kita jadi katak dalam gelas kaca
yang hanya melihat perubahan dan globalisasi dunia
dan hanya berteleku di situ